KOTA KINABALU: Kawasan pesisir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dijangka bakal menjadi Kampung Angkat Madani oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata perairan daerah Tawau adalah termasuk dalam kawasan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, pemilihan salah satu kampung di DUN Apas sangat bertepatan memandangkan kebanyakan kawasan di sini menjadi kawasan ESSZONE.
“Cadangan dan hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dalam pertemuan kami, hari ini.
“Pelbagai isu-isu yang berkaitan keselamatan termasuk mendapatkan pandangan bagi memantapkan kawalan keselamatan di ESSZONE,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat ESSCOM di pejabatnya di Menara Kinabalu.
Menurutnya, Kampung Angkat Madani diperkenalkan oleh kerajaan yang merupakan inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024.
“Ia juga dilaksanakan untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan ‘Whole of Government’.
“Kewujudan Kampung Angkat Madani ini adalah untuk menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan,” katanya.