KOTA KINABALU: Enam lagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Pakistan diusir pulang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, pada Khamis.
Menerusi kenyataan JIM Sabah di laman Facebook rasminya, penghantaran pulang itu adalah operasi pemindahan tahanan ke negara asal kategori usir melalui udara.
Katanya, pemindahan tahanan warga Pakistan ini daripada Depot Imigresen Tawau melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Islamabad, Pakistan.
“PATI itu dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Kesemua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri,” katanya.
Menurutnya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
“Tindakan pendakwaan juga akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan.
“Individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub akan dikenakan tindakan di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Jelasnya, JIM Sabah menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
“JIM Sabah akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini,” katanya.