Hajiji arah pegawai kerajaan proaktif tangani masalah jalan berlubang


INANAM – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua pegawai kerajaan untuk lebih proaktif mengatasi masalah jalan berlubang yang membelenggu rakyat negeri ini.

Menurutnya, pihaknya memandang serius isu mengenai isu keselamatan pengguna jalan raya dan akan terus berusaha mengatasinya bagi mengelakkan tragedi sama berulang pada masa hadapan.  

Beliau merujuk kepada satu kemalangan maut yang berlaku sebelum ini melibatkan seorang penunggang motosikal yang terlanggar lubang di tengah jalan berhampiran jejambat Lido di Jalan Lintas, Kota Kinabalu pada Isnin lepas.  

"Ini sesuatu yang menyedihkan, kerajaan akan terus mengatasi masalah ini agar tidak berulang di masa hadapan," katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Inanam, hari ini.  

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan kelulusan projek bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Kionsom dan Jalan Tuaran.  

"Saya telah mengarahkan pegawai dan jabatan yang bertanggungjawab supaya menangani perkara ini dengan serius serta bertindak lebih proaktif, jangan biarkan jalan berlubang hingga mengakibatkan kemalangan," ujarnya.  

Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuk pemasangan lampu isyarat dan pelebaran jalan, terutama di kawasan pusingan bulatan yang telah wujud lebih 40 tahun dan menjadi punca utama kesesakan.  

Menurutnya, dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Putatan, Inanam, dan Manggatal, masalah kesesakan di kawasan itu dijangka dapat dikurangkan.  

Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu infrastruktur jalan raya dan akan memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan rakyat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama