Hanya spekulasi, kata UMNO Sabah

Suhaimi memaklumkan bahawa UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah.


KOTA KINABALU: UMNO Sabah menafikan membuat sebarang perbincangan rasmi berkaitan persefahaman atau kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Parti Warisan (WARISAN) bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengesahkan pihaknya setakat ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu yang tular di sebuah page Facebook, baru-baru ini.

"Ingin ditegaskan juga setakat ini UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah.

"Segala laporan yang tular hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah. UMNO Sabah kekal fokus dalam memperkukuhkan parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri. UMNO Sabah yakin dengan kepercayaan rakyat dan pengalaman parti dalam menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri, UMNO Sabah akan terus menjadi pilihan utama pengundi di seluruh Sabah.

"Sehubungan itu, UMNO Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas.

"Sebarang keputusan atau pengumuman rasmi akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama