Harga lantai belian padi naik kepada RM1,500, kerajaan salur RM150 juta

Arthur (tengah) sewaktu menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama warga kerja KPKM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.
KOTA KINABALU - Kerajaan mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 satu tan metrik sebagai langkah jangka pendek bagi membantu pesawah serta memastikan kestabilan industri padi dan beras negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata langkah ini diambil selepas kerajaan mendengar luahan pesawah dan pemain industri yang menggesa kenaikan harga lantai bagi memastikan industri padi dan beras kekal berdaya saing.

Menurutnya, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi menampung kenaikan ini untuk tempoh enam bulan pertama.

"Kita baru mendapat penerangan daripada Menteri di Dewan Rakyat semalam mengenai kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 dan ini menunjukkan komitmen kerajaan yang mendengar keluhan pesawah serta pemain industri padi dan beras.

"Ini merupakan langkah jangka masa pendek di mana kerajaan prihatin terhadap permintaan yang disampaikan, dan peruntukan RM150 juta ini akan digunakan bagi menampung kenaikan kos untuk tempoh enam bulan pertama,"* katanya.

Arthur berkata, kerajaan akan menilai semula langkah ini selepas tempoh enam bulan sebelum membuat keputusan sama ada ia akan diteruskan dalam jangka masa panjang.

"Kita akan menilai keberkesanan langkah ini selepas enam bulan dan sekiranya ia memberi impak positif, usaha ini boleh diteruskan bagi jangka masa lebih panjang.

"Reformasi industri padi dan beras ini sedang berjalan, dan pengumuman ini adalah langkah awal sebelum penambahbaikan selanjutnya dilakukan sepanjang tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama warga kerja KPKM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.

Kenaikan harga lantai belian padi ini dilihat sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam mereformasi industri padi dan beras negara, memastikan pendapatan pesawah lebih stabil serta mengukuhkan rantaian bekalan beras tempatan.

Kerajaan turut komited untuk terus meneliti langkah-langkah lain bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dalam jangka panjang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama