TAWAU: Seorang kanak-kanak cedera selepas bas mini yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Abaca 2, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 12 tahun cedera di bahagian kaki akibat tersepit di dalam bas mini yang dinaiki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada jam 11.57 malam.
Katanya, seramai sembilan anggota bersama dia jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, kemalangan itu membabitkan sebuah bas mini melanggar lori dan seorang penumpang kanak-kanak di dapati tersepit.
“Pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan RTA,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 12.24 tengah malam,” katanya.