![]() |
Victor (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Jainisah (empat dari kiri) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) semakin kukuh.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor B Sanjos berkata kes penculikan yang terakhir berlaku di ESSZone adalah pada 15 Januari 2020 iaitu lebih lima tahun lepas.
"Ini ekoran daripada strategi-strategi dan pengukuhan-pengukuhan di tempat-tempat yang lebih terkawal dan lebih selamat.
"Selain itu, ia juga merupakan hasil kerjasama daripada masyarakat dan juga agensi-agensi yang lain.
"Jadi sebagai jenama keselamatan di kawasan Pantai Timur, ia memperlihatkan peningkatan dan pertambahan kedatangan pelancong-pelancong asing dan juga dalam negara ke kawasan ini.
"Saya juga mendapat makluman lebih banyak pelaburan daripada luar negara dan juga dalam negara akan tertumpu kepada kawasan Pantai Timur Sabah.
"Sebagai perancangan masa hadapan, ESSCOM bercadang untuk menggunakan teknologi dari segi kawalan sempadan seperti teknologi AI dan juga pembinaan pos-pos yang baru supaya keselamatan lebih mengukuh," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Rabu.
Menurut Victor, kunjungan tersebut bertujuan untuk menciptakan sinergi kerjasama dan membuat perancangan bagi kepentingan bersama terutamanya dari segi kepentingan strategik.
"Pihak ESSCOM amat memerlukan kerjasama dan juga perkhidmatan daripada kepakaran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah yang sudah tentu akan dilihat dapat menerangkan situasi sebenar, keadaan sebenar, keadaan keselamatan di negeri Sabah terutamanya di kawasan ESSZone melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh JAPEN," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali memaklumkan selain operasi keselamatan, ESSCOM juga memfokuskan beberapa agenda utama lain antaranya kolaborasi bersama jabatan dan agensi serta program bersama masyarakat.
"ESSCOM akan meneruskan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan pada tahun lepas dan juga beberapa program baharu antaranya Kampung Angkat Madani yang mana Kampung Inderasabah dalam DUN Apas telah dipilih untuk program ini," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM Imelda Godon, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah Peter Tong, KPP Bahagian Media Siber JAPEN Sabah Geraldine Voo dan KPP Unit Keurusetiaan JAPEN Sabah Siti Mariam Aziz Rashid.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )