![]() |
Peserta bergambar kenangan bersama Pengarah Kolej Vokasional Bintulu sempena lawatan penanda aras kolej vokasional |
BEAUFORT: Sebagai usaha meningkatkan pengetahuan pelajar dalam industri sasaran, Kolej Vokasional Beaufort (KVB) mengadakan Jelajah Industri dan Lawatan Penanda Aras 'Spirit of Borneo' ke beberapa institut kemahiran di Sarawak.
Penyelaras Program Jelajah Industri KVB, Najil Makong berkata lawatan tersebut melibatkan beberapa pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) iaitu ADTEC Bintulu, RIAM Institute of Technology, AZAMA Auto Parts serta lawatan penanda aras di Kolej Vokasional Bintulu yang juga bertujuan menjalin hubungan dan jaringan kolaborasi antara organisasi dilawati.
"Lawatan ini mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang yang dipelajari melalui pembelajaran secara langsung di industri serta institut kemahiran berteraskan TVET," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jaminan Kualiti KVB, Dr. Asrin Gili menjelaskan lawatan tiga hari bermula 23 sehingga 25 Januari itu memberi peluang memperbaiki dan memperbaharui sistem jaminan kualiti yang ada di KVB.
"Selain itu, mempelajari cara industri menguruskan standard kualiti, proses audit, penambahbaikan berterusan serta pengukuran prestasi yang akhirnya dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran program pendidikan di kolej.
“Melalui program ini kita dapat memperkukuh kerjasama dengan industri yang membawa manfaat dalam penyediaan peluang latihan praktikal, menyelaraskan kurikulum dengan kehendak industri dan memperbaiki kualiti graduan dalam konteks kebolehpasaran," ujarnya.
Lawatan tersebut disertai 40 peserta diketuai oleh Timbalan Pengarah Akademik (TPA) KVB Dg Fauziah Binti Ag Tahir, ketua-ketua jabatan, para pensyarah serta pelajar untuk memberi pendedahan mengenai amalan terbaik, inovasi dalam pekerjaan dan teknologi terkini yang digunakan dalam bidang TVET.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )