SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited menangani isu kos sara hidup rakyat menerusi bantuan tunai termasuklah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membantu rakyat di seluruh negara.
Katanya, menerusi kerjasama itu, KPDN akan menambah bilangan premis yang terbabit dalam program berkenaan khususnya di kawasan luar bandar dan terpencil.
“Setakat ini sebanyak 1,700 pasar raya dan kedai runcit disenaraikan sebagai pelaksana program SARA bagi memudahkan orang ramai membuat pembelian di premis ditetapkan.
“Sebagai kementerian bertanggungjawab dalam sektor runcit, KPDN bekerjasama dengan MOF terutama di Sabah dan Sarawak untuk menambah bilangan premis bagi program SARA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program jualan Rahmah MADANI di sini hari ini.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak adalah kawasan yang paling mencabar dari segi geografi serta infrastruktur.
“Matlamat kami untuk meluaskan program ini ke kawasan luar bandar dan terpencil supaya penduduk tidak perlu pergi jauh membeli keperluan asas.
“Pada tahun ini, pelaksanaan SARA akan diperluaskan di Sabah dan Sarawak, dengan bantuan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima, berbanding kaedah pembayaran tunai dua kali setahun sebelum ini,” katanya.
Armizan berkata, ia akan dilaksanakan selepas 340 premis di Sabah dan 320 di Sarawak dimasukkan dalam program ini.
Katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion pada tahun ini untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, dengan RM8 bilion untuk STR dan RM5 bilion untuk SARA.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan Sabah yang melaksanakan pelbagai program khusus untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup rakyat.
“Pelaksanaan program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SUKUR) oleh kerajaan Sabah dan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) oleh kerajaan Sarawak banyak membantu rakya,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, pemberian bantuan melalui STR dan SARA akan memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima berpendapatan rendah.
Katanya, ia merangkumi lebih 120,000 penerima di negeri Sabah dan 110,000 penerima di negeri Sarawak.