![]() |
Raisin (lima dari kanan) menyerahkan cendera kenangan kepada Tun Musa - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM63 juta bagi sekolah yang terjejas akibat banjir di Sabah.
Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata peruntukan tersebut adalah komitmen KPM dalam memastikan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir dapat dibuka semula menjelang hari pertama persekolahan 17 Februari ini.
"Saya ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada KPM yang telah menurunkan sejumlah peruntukan yang boleh digunakan untuk membersihkan sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan seterusnya membuat perolehan bagi tujuan penggantian perabot meja yang mungkin musnah akibat banjir berkenaan.
"Kita menerima peruntukan untuk pembersihan untuk banjir dalam lingkungan RM 63 juta untuk semua sekolah yang terlibat dan juga sekolah yang mungkin akan dilanda banjir lagi.
"Komitmen Jabatan Pendidikan Sabah ialah memastikan sekolah-sekolah ini dapat beroperasi dengan sempurna pada hari pertama persekolahan pada 17 Februari ini," katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Menurut Raisin, lebih 50 buah sekolah di Sabah terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri tersebut.
"Dalam data yang telah kami kumpulkan sejak bencana banjir ini melanda di Sabah, terdapat 57 buah sekolah yang telah terkesan oleh banjir dan sehingga kelmarin di daerah Beaufort masih ada 14 buah sekolah yang masih dilanda banjir", kata beliau.
"Usaha-usaha untuk kita membersihkan sekolah yang telah pun berhenti banjir itu sedang giat dilaksanakan," katanya.
Jelas beliau, kerajaan negeri turut memainkan peranan penting dalam membantu sekolah yang terjejas akibat bencana tersebut.
"Kerajaan negeri juga banyak membantu dengan menyalurkan bantuan yang sesuai untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan," tambahnya.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Krishna KS @ Mohd Fadzli bin Hj Abd Rozan, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Nurani Fauziah Derin, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Indang Kasi Sibin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Muddin Beting.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )