![]() |
Taufiq (dua dari kiri) dan Ritchie (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Masidi hasil seni daripada Dr Ibrahim (kiri) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Sabah akan terus mengukuhkan keharmonian kaum dalam beragama, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut beliau perayaan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan perpaduan dan sikap saling menghormati juga menjadi identiti negeri ini sejak sekian lama.
"Rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang agama telah mengamalkan kehidupan bersama tanpa isu berkaitan akidah, termasuk ketika menyambut perayaan bersama keluarga dan sahabat yang bukan beragama Islam.
"Di Sabah, kita telah hidup bersama dalam harmoni selama ratusan tahun.
"Kita menghormati satu sama lain tanpa perlu sebarang garis panduan khas tentang bagaimana kita berinteraksi dalam perayaan kaum lain.
"Keharmonian ini adalah kekuatan Sabah dalam mengekalkan perpaduan," ujarnya ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di sini pada Ahad.
Beliau menegaskan Islam sebagai agama rasmi negara tidak pernah dipersoalkan, tetapi pada masa yang sama, rakyat Malaysia harus terus mengekalkan budaya hormat-menghormati antara agama.
"Kita bersyukur kerana bukan sahaja dikurniakan negara yang kaya, tetapi juga masyarakat yang hidup dalam perpaduan," tambah beliau.
Dalam ucapannya, Masidi turut berbangga dengan pencapaian masyarakat Muslim Cina yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang khususnya dalam akademik.
"Saya amat berbangga melihat ahli-ahli MACMA, khususnya di Sabah, yang berjaya dalam bidang masing-masing.
"Ini menunjukkan bahawa Islam tidak mengenal batas kaum, dan setiap individu mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
"Sabah adalah satu, tidak kira bangsa atau agama, kita semua bersaudara," katanya.
Kira-kira 500 orang menghadiri majlis sambutan tersebut yang turut dijayakan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), IKRAM Sabah dan Hidayah Centre Foundation Sabah.
Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Sabah Datuk Ahadin Arinen, Pengerusi Qhazanah Technologies Sdn Bhd Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Presiden MACMA Malaysia Prof Datuk Ts Taufiq Yap Yun Hin dan Presiden MACMA Sabah Dr. Ritchie Jay Cheng.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )