Lelaki 8 rekod jenayah ditahan pecah masuk bengkel kereta


TAWAU: Seorang lelaki warga tempatan ditahan semalam kerana disyaki terlibat dengan kes pecah masuk dan curi di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Bukit Kukusan, di sini.

Suspek yang merupakan seorang pekerja bengkel berumur 28 tahun itu, ditangkap di sebuah pondok, Jalan Tanjung Batu, di sini kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan daripada pemilik bengkel.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek terbabit dipercayai telah memecah masuk bengkel berkenaan pada 21 Januari lepas.

“Suspek juga disyaki telah mencuri beberapa peralatan dan barang berharga termasuk satu unit enjin, komponen kereta dan alat elektrik bengkel dengan anggaran kerugian hampir RM40,000.

“Bertindak berdasarkan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya menangkap di Jalan Tanjung Batu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod berkaitan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian jenayah seumpama ini

“Saya menyeru masyarakat di daerah ini yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama