KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah
mengekalkan keputusannya pada 2021 untuk membatalkan pelantikan kehakiman
Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu selepas menolak percubaan
pihak tuntutan Kumpulan Sulu untuk membatalkannya.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Khas Kerajaan bagi kes
tuntutan Sulu menyatakan bahawa susulan Keputusan mahkamah bertarikh 11 Feb
2025, pihak tuntutan Kumpulan Sulu turut diperintahkan membayar kos kepada Kerajaan
Malaysia.
“Mahkamah Tinggi keadilan Madrid juga secara jelas
menyatakan majistret-majistret tidak pernah ditekan atau membiarkan diri mereka
dipengaruhi dalam ap acara sekalipun,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan untuk
membatalkan pelantikan kehakiman Stampa sebagai penimbang tara dibuat
semata-mata atas alasan undang-undang dalam Keputusan bertarikh 29 Jun 2021,
yang bersifat muktamad dan mengikat sejak ia dikeluarkan.
Malaysia menyambut baik keputusan mahkamah Sepanyol itu yang
membuktikan dasar Kerajaan untuk mempertahankan Malaysia dengan tegas di setiap
mahkamah dan forum, menggunakan segala kuasa, hak dan sumbernya bagi memastikan
penamatan Penipuan Sulu serta melindungi kepentingan Malaysia, kekebalan
kedaulatan dan kedaulatan negara.
Menurut kenyataan itu, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah
mengeluarkan Keputusan muktamad dan mengikat pada 29 Jun 2021, selaras dengan
undang-undang kesnya, yang memutuskan Malaysia sebagai sebuah negara asing
telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.
Oleh itu, mahkamah membatalkan pelantikan kehakiman Stampa
sebagai penimbang tara serta semua tindakan prosedurnya dalam apa yang dikenali
sebagai kes Sulu dan memerintahkan supaya Malaysia dipanggil dengan sewajarnya
dan prosiding pelantikan penimbang tara baharu dimulakan semula.
Pada Disember 2023, pihak Kumpulan tuntutan Sulu telah
mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid dalam usaha
untuk membatalkan keputusan mahkamah pada 29 Jun yang membatalkan pelantikan
Stampa, semata-mata berdasarkan satu artikel akhbar yang mendakwa Kementerian
Luar Sepanyol telah mengenakan tekanan politik ke atas mahkamah kerana kepentingan
ekonomi Sepanyol dengan Malaysia.
Malaysia dengan sewajarnya menentang permohonan pembatalan itu kerana tuntutan kumpulan Sulu itu sama sekali tidak berasas. (BERNAMA)