![]() |
Operasi SAR yang ditangguhkan, akan disambung semula pada hari ini. |
RANAU: Mayat ditemui di puncak bukit Kampung Paus, di sini Khamis lepas bukan mangsa yang dilaporkan hilang di Sungai Gayo Nagas Ponulagon.
Hasil pengecaman mendapati mayat yang hampir reput itu bukan mangsa yang dicari dan identitinya belum dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, mayat itu ditemui di puncak bukit pada jam 5 petang, oleh orang awam yang turut serta dalam operasi mencari.
Katanya, orang awam menemui mayat yang hampir reput itu di kedudukan 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di sungai berkenaan.
“Pasukan bomba dan agensi bantuan lain mengambil mayat berkenaan dan dibawa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis.
“Namun, hasil pengecaman mangsa dibuat oleh ahli keluarga semalam, mendapati mayat itu bukanlah orang yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Ridwan berkata, pihaknya bersama agensi bantuan lain masih menjalankan operasi mencari di sepanjang Sungai Gayo Nagas Ponulagon dan sekitar kawasan bukit berhampiran.
“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, BBP Ranau menerima panggilan kecemasan seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus, sejak 3 Februari lalu.
Mangsa, Mokthar Azrin Amat berusia 30 tahun itu dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga 10 Febuari lepas dan menyebabkan bapa mangsa membuat laporan.
Motosikal mangsa didapati masih berada di lokasi dan usaha mencari oleh keluarga mangsa dilakukan, namun gagal, sebelum bapanya membuat laporan kepada pihak berkuasa.