![]() |
Juliah (tengah, belakang) merakamkan gambar kenangan dalam Majlis Tahun Baharu Cina Mutiara GRS Bersama Kanak-kanak Terpilih Tahun 2025 - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
PENAMPANG: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meraikan 50 kanak-kanak dari sekitar ibu negeri sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag berkata program tahunan itu bertujuan untuk memberi keceriaan kepada golongan kanak-kanak semasa menyambut perayaan, di samping menyuburkan keharmonian, sikap toleransi dan semangat kebersamaan.
"Pada hari ini, kami daripada Mutiara GRS mengadakan sambutan Tahun Baru Cina untuk tahun 2025 seperti tahun-tahun yang lalu kami mengadakannya.
"Jadi, hari ini kami telah dapat mengumpulkan daripada lima buah sekolah di daerah Kota Kinabalu iaitu sekolah rendah dan juga sekolah menengah, ada kira-kira 50 orang murid yang terpilih iaitu dari Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu, Sekolah Menengah St. Francis Convent, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Shan Tao, SRJK Chung Hwa dan SRJK(C) Anglo Chinese.
"Semoga ini dapat menceriakan mereka menyambut Tahun Baru Cina pada tahun ini dan mudah-mudahan program yang kami adakan pada hari ini betul-betul dapat memberikan mereka satu perasaan gembira menyambut perayaan Tahun Baru Cina," ujarnya.
Mengenai perancangan badan kebajikan bagi tahun ini, Juliah memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan beberapa program menyantuni golongan istimewa di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai bulan depan.
"Kami sedang merancangnya dan bermula bulan depan akan diadakan tetapi lokasi belum ditentukan, insyaAllah akan dilaksanakan.
"Seperti tahun-tahun yang lalu, kami akan menyantuni orang-orang istimewa, mereka-mereka yang memerlukan dan masuk ke kawasan Adun-Adun yang terpilih," jelas beliau kepada media ketika menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina Mutiara GRS Bersama Kanak-kanak Terpilih Tahun 2025 di sini, pada Selasa.
Pada majlis tersebut, selain menerima 'CNY Nian Gao' daripada Pengerusi Penganjur, Datin Seri Panglima Kang Yin Kiun @ Stella Yong, Juliah juga menyampaikan angpow kepada semua kanak-kanak yang terlibat.
Antara yang hadir, Naib Yang Dipertua I Datin Seri Panglima Cecelia E Kitingan, Naib Yang Dipertua III Datin Dg Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi yang juga Setiausaha Kehormat, Pemangku Penolong Setiausaha Kehormat Datin Adizah Matusuf dan AJK Pelaksana, Datin Tracy Jee Huat @ Mui Sui.
Sementara itu, pelajar Tingkatan 6 Rendah SM Tinggi Kota Kinabalu, Annabelle Loong, 19, merakamkan ucapan terima kasih kepada MUTIARA GRS dan berjanji untuk memanfaatkan sebaiknya angpow yang diterimanya.
"Saya sangat gembira dengan angpow yang baru kami dapat ni saya akan guna untuk belanja sekolah macam buku-buku, alat tulis untuk keperluan buka sekolah nanti.
"Saya berharap tahun baharu ini akan lebih cerah untuk saya banggakan parents saya supaya saya belajar bagus-bagus untuk tolong family saya," ujar Annabelle yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Berbeza dengan pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah St. Francis Convent, Zoey Tai Qiao Fei, 14, yang mahu menyimpan angpow untuk membeli sesuatu yang lebih diperlukannya.
"Saya hanya akan menyimpannya sehingga saya mendapatkan jumlah yang sesuai kerana saya sedang berfikir untuk mendapatkan sesuatu yang baru.
"Saya rasa ia mungkin monitor kerana monitor saya dari rumah saya sedikit rosak tetapi saya masih boleh menggunakannya," katanya yang gembira memandangkan kali pertama dilibatkan dalam program terbabit.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )