![]() |
Alesia (tengah) menerima cendera kenangan daripada pihak Asgardian Art - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput untuk mengunjungi Pameran Seni Tanong:Cerita Rakyat Kita di Galeri Seni Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pameran yang kini berlangsung sehingga 6 April tersebut mengumpulkan pelbagai hasil seni yang diinspirasikan daripada cerita-cerita tradisional masyarakat tempatan dengan menampilkan lebih 229 hasil karya dari 227 artis berbakat.
"Tanong, yang bermaksud cerita dalam bahasa Kadazan, bertujuan menghidupkan kembali kisah-kisah lama yang diwarisi dari generasi ke generasi.
"Pameran ini mengajak pengunjung dari pelbagai latar belakang untuk menyelami warisan nenek moyang dan memahami nilai sejarah serta moral yang terkandung dalam cerita rakyat Sabah yang dihidupkan semula menerusi pelbagai karya seni diinspirasikan daripada cerita-cerita tradisional.
"Setiap karya yang dipamerkan merangkumi kebijaksanaan, sejarah, dan nilai masyarakat setempat, dihimpunkan dalam satu ruang bagi menyemarakkan lagi rasa penghargaan dan kekaguman terhadap kisah unik yang mencerminkan warisan serta identiti Bomeo kita," katanya semasa Majlis Perasmian Pameran Seni Tanong:Cerita Rakyat Kita, pada Sabtu.
Jelas beliau, pameran tersebut bukan sahaja untuk memelihara seni dan budaya, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara komuniti melalui perkongsian cerita yang mencerminkan identiti dan warisan Borneo.
"Kisah-kisah yang diketengahkan termasuk antaranya Huminodun dan Naga Gunung Kinabalu, yang bukan sahaja menjadi simbol budaya Negeri di Bawah Bayu tetapi juga membawa mesej mendalam tentang moral serta nilai kehidupan.
"Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang melihat bagaimana seni dijadikan medium untuk menyampaikan kisah dan menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu," ujarnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion.
Pameran hasil kerjasama Asgardian Art dan Galeri Seni Sabah itu turut disertai oleh "Derivatives: Beads & Lore", satu komponen khas yang dikendalikan oleh kurator Jesse Joy dan Ricardo Unto dengan barisan artis berbakat dalam seni manik serta perhiasan.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )
CAPTION: