![]() |
Mohd Syazamansyah, 25, dijatuhi hukuman penjara 3 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan menganiaya anak kandungnya Oktober lalu. |
TAWAU : "Yang Arif, saya sudah insaf dan menyesal selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu, mohon hukuman diringankan," demikian rayuan seorang bapa selepas mengaku bersalah menganiaya anak lelakinya Oktober lalu, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Susulan pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Ahmad Faizadh Yahaya memerintahkan tertuduh Mohd Syazamansyah Anak Mohd Lani, 25, dihukum penjara tiga tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kali kedua di sini, hari ini.
Mahkamah turut memutuskan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik berjumlah RM2000 dengan seorang penjamin tempatan selama dua tahun dan sekiranya gagal menjelaskan bon itu dikenakan hukuman penjara tambahan selama tempoh tiga bulan.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam agregat dalam tempoh 12 bulan selepas bebas dari penjara.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai penjual ikan menggunakan kenderaan jenis pacuan empat roda (single cab) didakwa menganiayai hingga menyebabkan anak lelakinya yang berumur satu tahun 11 bulan mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pesisiran dekat sini, kira-kira jam 5 petang pada 6 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.