TAWAU: Seorang penganggur dipenjara 9 bulan dan denda RM11,300 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan.
Tertuduh, Mohd Shafiezan Hassan, 26 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen memandu selama tempoh dua tahun bermula tarikh sabitan hari ini.
Berdasarkan semua pertuduhan, Mohd Shafiezan didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan, tidak memiliki lesen memandu dan tiada polisi insuran.
Tertuduh yang didapati memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh pintu kaca dan SST Room milik RHB Bank dan lima kenderaan lain di Jalan Merdeka 2 pada 29 Disember lalu, kira-kira jam 4.15 pagi.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh ialah sebanyak 243 miligram etil dalam 100 mililiter darah melebihi daripada had yang dibenarkan.
Semua kesalahan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Don Stiwin sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh selepas dia gagal hadir ke mahkamah, semalam.
Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) berjaya menangkap tertuduh di rumahnya kira-kira jam 2.30 petang.