Pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah berdepan 17 pertuduhan rasuah

Kartika Dewiana Bacho, 37, (kanan) mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah 14,250.00 dua tahun lalu.

TAWAU : Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,250.00 dua tahun lalu.

Tertuduh, Katika Dewiana Bacho, 37, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh untuk dirinya sendiri suatu benda berharga iaitu wang tunai tanpa suatu balasan yang dipindahkan daripada akaun peribadi Maybank milik Eryano Jabar, 58, membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM14,250.00.

Semua suapan didakwa diterima tertuduh daripada individu terbabit yang mempunyai hubungan kerja rasminya yang mana Eryano berperanan menguruskan warga asing melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

Tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 itu, didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau sepanjang tempoh antara Januari hingga Mac 2023.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri dua bulan sekali di pejabat SPRM selain dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Peguam Nur Hafizah Husna bt Elahab@lahab yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan.

"Tertuduh sudah berkhidmat selama 15 tahun dan tiada risiko untuk melarikan diri sebagaimana kehadirannya di Mahkamah hari ini," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit sebanyak RM2000 serta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Mac depan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama