"Pelakor" : Dua beradik serang, cederakan penjual kosmetik dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW)

Dua beradik dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) oleh Mahkamat Majistret Tawau, di sini hari ini.

TAWAU : Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan dua beradik menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) empat jam selama tempoh 30 hari selepas mengaku bersalah mencederakan seorang penjual kosmetik, awal Januari lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum, membuat keputusan itu, selepas tertuduh Kartika Ridwan, 31, dan kakaknya Kasmila Ridwan, 39, masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua beradik pemegang pasport warga Indonesia itu dikenakan bon berjumlah RM1000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera keatas mangsa yang berumur 29 tahun, di sebuah rumah pangsa, Flat Fajar, dekat sini, kira-kira jam 6 petang, pada 31 Disember lalu.

Atas kesalahan itu, kedua-duanya berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Manakala peguam Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu (mangsa).

PKW dilaksanakan di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) adalah hukuman alternatif yang memperuntukkan seseorang pesalah menjalani hukuman di luar penjara dengan hadir ke pusat tertentu untuk menjalani program pemulihan dan aktiviti berstruktur.

Matlamat utama PKW adalah pemulihan pesalah dan memastikan mereka menjalani hukuman tanpa dipenjarakan selain mengatasi isu kepadatan banduan di fasiliti berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang penjual kosmetik yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami salah seorang tertuduh, cedera selepas diserang dan dipukul di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, wanita warga Indonesia itu turut diacu gunting di muka selain dihempuk berkali-kali dengan televisyen dan nyaris dilumur dengan cili di kemaluannya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama