![]() |
Kejadian sebuah kereta merempuh cermin sebuah premis di Lorong Bintang Batu 3 Jalan Apas di sini, pagi tadi. Foto | Tular. |
TAWAU : Akibat terlupa menukar transmisi kepada mod Parking "P" sebuah kereta merempuh cermin kaca premis dekat Lorong Bintang, Batu 3 Jalan Apas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kereta jenis Proton Saga dipandu seorang wanita warga emas berumur 62 tahun, bersama seorang penumpang dikatakan meletakkan kenderaan di kawasan petak parkir di hadapan premis berkenaan tanpa mematikan enjin.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati sebelum turun dari kereta, wanita itu terlupa menukar transmisi (gear) kepada mod Parking "P".
"Akibat daripada itu, motokarnya bergerak ke depan dan merempuh cermin premis terbabit menyebabkan kerosakan pada motokar dan premis tanpas sebarang kecederaan dilaporkan.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu tanpa kecermatan hingga menyebabkan kemalangan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini, pagi ini.
Sebelum itu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial.