Pembaikan paip utama di Jalan Penampang selesai, bekalan air di Kota Kinabalu beransur pulih

Shahelmey sewaktu ditemubual di Program Berkhatan Perdana di Masjid Nurul Iman, Putatan, pada Sabtu

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dijangka beransur pulih susulan kerja-kerja pembaikan paip transmisi utama di Jalan Penampang telah selesai dilakukan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, memaklumkan bahawa Jabatan Air bersama Jetama telah berjaya menyiapkan pembaikan pada lewat malam semalam.

Jelass Shahelmey, kini bekalan air sedang dikembalikan secara berperingkat ke kawasan terjejas.

"Semalam, melalui Jabatan Air dan juga Jetama telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan satu paip transmisi utama di Jalan Penampang. Saya sendiri sempat melihat proses kerja pembaikan pada sekitar pukul 5.30 petang semalam dan kerja pembaikan telah pun berjaya disiapkan.

"Sekarang air di paip transmisi utama itu sudah mula diaktifkan, jadi kita berharap tekanan air akan beransur pulih lebih baik daripada sebelum ini," katanya sewaktu ditemubual di Program Berkhatan Perdana di Masjid Nurul Iman, Putatan.

Dalam program yang sama beliau turut memaklumkan, berikutan bencana banjir yang melanda beberapa lokaliti di Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau dan menilai kerosakan jalan yang terkesan akibat insiden tersebut, terutamanya di kawasan yang ditenggelami air.

"Setakat yang saya dimaklumkan, belum ada laporan kerosakan besar, cuma jalan-jalan yang mungkin rosak akibat ditenggelami air dan juga arus.

"Jadi, untuk jalan-jalan yang terlibat, pihak Jabatan Kerja Raya Sabah melalui daerah-daerah yang terlibat memantau dan membuat penilaian terhadap kerosakan jalan yang ada,” tambah Shahelmey.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama