Pembantu penguatkuasa ditahan disyaki minta rasuah RM11,000

  • Pengarah  SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy


KOTA KINABALU: Seorang pembantu penguatkuasa agensi kerajaan di negeri ini ditahan, petang tadi selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM11,000 daripada sebuah syarikat. 

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurut sumber, perbuatan rasuah itu adalah sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat tersebut yang melakukan kesalahan jalan raya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2023 hingga Oktober 2024.

“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun katanya, suspek ditahan selama 24 jam dan dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama