KOTA KINABALU: Industri koko Malaysia mencatat perkembangan memberangsangkan pada tahun 2024 dengan peningkatan 70 peratus dalam pengeluaran domestik biji koko kering.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah pengeluaran meningkat daripada 269 tan metrik pada tahun 2023 kepada 456 tan metrik pada tahun lalu, hasil daripada pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko yang diperkenalkan sejak awal tahun 2024.
"Dengan peruntukan RM9.5 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026, program ini telah memberi manfaat kepada 3,296 pekebun kecil koko yang menerima insentif pertanian seperti baja, racun, ubat kawalan penyakit serta peralatan pertanian, melibatkan pemulihan seluas 2,126 hektar ladang koko," jelas beliau.
Menurut Johari, peningkatan harga biji koko kering yang melonjak sehingga 141 peratus berbanding tahun sebelumnya turut mendorong petani untuk lebih giat mengutip hasil koko.
"Harga pasaran meningkat daripada RM10,073 per tan pada tahun 2023 kepada RM24,274 per tan pada tahun 2024," ujarnya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) 2025 di di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain katanya, nilai eksport produk koko dan coklat Malaysia juga mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 64 peratus, daripada RM8.2 bilion pada tahun 2023 kepada RM13.5 bilion pada tahun 2024.
"Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara pengisar koko keempat terbesar di dunia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 383,000 tan, selepas Ivory Coast (680,000 tan), Belanda (590,000 tan) dan Jerman (460,000 tan)," tambahnya.
Johari turut menekankan kepentingan amalan pertanian dan buruh yang bertanggungjawab dalam memastikan industri koko negara kekal mampan serta memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
"Kos pengeluaran koko kini meningkat kepada RM8,492 sehektar setahun berbanding RM7,592 sehektar pada tahun 2021 dan 2022, dan usaha ke arah sistem penanaman berskala komersial harus diperkukuh.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada LKM kerana berjaya menarik beberapa syarikat dan agensi perladangan untuk mengusahakan tanaman koko berskala besar, melibatkan tambahan kawasan seluas 714 hektar," katanya lagi.
Mengenai perancangan tahun 2025, Johari memaklumkan, LKM akan menumpukan usaha untuk mengukuhkan rantaian bekalan koko domestik menerusi Program Galakan Tanaman Koko.
Program lima tahun itu akan dilaksanakan dari 2025 hingga 2029 dengan peruntukan RM4 juta bagi tahun ini, termasuk pemberian insentif anak pokok koko kepada kawasan ladang terpilih seluas 350 hektar.
Dalam majlis berkenaan, Johari turut menyampaikan anugerah kepada 90 individu dan organisasi yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan industri koko negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Ramle Kasin.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )