Penyertaan Malaysia Ke Expo Dunia 2025 lonjakkan industri pelancongan

Shikata (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU: Penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun dapat melonjakkan nama negara dalam industri pelancongan antarabangsa.

Menurut Duta Besar Jepun Ke Malaysia Shikata Noriyuki, ekspo itu akan berlangsung mulai 13 April ini hingga 13 Oktober depan.

"Jepun akan mengadakan Ekspo Osaka-Kansai, ia adalah ekspo dunia dan akan menjadi tempat yang sangat penting untuk Malaysia dikenali dengan lebih baik di Jepun dan di seluruh dunia.

"Sabah ada potensi untuk menarik pelancong Jepun ke Sabah. Kawasan yang indah, orang yang baik dan makanan yang sedap, termasuk makanan laut. Jadi, perkembangan Sabah ini dapat dikenali dengan lebih baik antara orang Jepun.

"Kami akan menerima lebih ramai orang Malaysia yang datang ke Jepun. Harap-harap, lebih ramai orang Jepun akan datang ke Malaysia, terutamanya ke Sabah," ujarnya.

Beliau yang ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu hari ini berkata, Sabah merupakan lokasi pertama yang dikunjunginya sejak dilantik ke sebagai Duta Besar Jepun Ke Malaysia pada tahun 2024.

Mengulas mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Jepun terutama Sabah, Shikata memaklumkan, kedua-dua negara mempunyai kerjasama erat dalam sektor pelaburan, pelancongan, sektor energi hijau, bidang penyelidikan serta biodiversiti.

"Kami mempunyai perhubungan yang sangat rapat. Ada syarikat Jepun yang telah melabur di kawasan ini termasuk Yammar Research and Development Centre.

"Saya tahu ada 30 syarikat Jepun yang bekerja di Sabah terutamanya dalam industri kayu balak.

"Saya rasa ada lebih banyak potensi untuk pelaburan baharu terutamanya dalam sektor energi hijau. Kami bercakap mengenai transisi energi. Ada syarikat Jepun yang mempunyai teknologi dan penyelesaian untuk mengatasi masalah.

"Sabah juga mempunyai potensi dalam bidang penyelidikan termasuk biodiversiti dan hutan tropikal yang diperlukan oleh pelajar Jepun," jelasnya.

Dalam kunjungan tersebut, Shikata diiringi Konsul Jepun Sabah, Sarawak dan Labuan, Yamashita Yoshito.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama