Perumahan SMJ bakal dibina di Lok Kawi Baru

Shahelmey (tengah) diiringi Awang Ahmad Sah (empat dari kanan) dan Judy Hiew(empat dari kiri) ketika menggaul yee sang sebagai acara gimik program - ihsan Jabatan Penerangan Sabah

PUTATAN: Perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) bakal di bina di Lok Kawi Baru untuk membantu golongan miskin dan tidak memiliki tanah pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, tanah seluas lima ekar tersebut telah dipohon dan diuruskan oleh Land Utilisation Committee (LUC) dan kini di dalam peringkat urusan pewartaannya.

"Oleh kerana Putatan ini kawasannya terlalu sempit dan rizab-rizab kampung pun boleh disifatkan penuh, saya telah mengambil inisiatif memohon tanah seluas lima ekar untuk membantu mereka yang tidak memiliki  tanah bagi membina rumah.

"Tujuan SMJ dalam pembinaan perumahan tersebut adalah membantu mereka yang miskin dan susah dan walaupun kita tidak dapat bantu semua namun dengan tanah lima ekar itu boleh menampung keperluan mereka untuk empat hingga lima tahun," katanya ketika ditemui media selepas Program  Sambutan Tahun Baru Cina 2025 Peringkat Daerah Putatan, pada Sabtu.

Majlis yang dihadiri kira-kira lebih 1,000 tetamu itu merupakan anjuran bersama Dewan Undangan Negeri Petagas dan Pejabat Daerah Putatan.

Pada majlis berkenaan, Awang Ahmad Sah turut menyampaikan angpau kepada 35 warga emas.

Hadir sama,  Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya merangkap Menteri Kerja Raya dan Pengerusi Penganjur, Datuk Judy Hiew.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama