PJRM "Back To School" ringankan beban belanja persekolahan ibu bapa



PENAMPANG – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) "Back to School" terus diperluaskan bagi membantu ibu bapa mendapatkan kelengkapan persekolahan anak-anak pada harga lebih rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif ini selari dengan peningkatan peruntukan di bawah Belanjawan 2025, di mana kerajaan menaikkan dana Payung Rahmah daripada RM200 juta kepada RM300 juta, peningkatan sebanyak RM100 juta berbanding tahun lalu.

"Sejak tahun lalu, kita cuba mencari program bersasar yang boleh membantu meringankan beban masyarakat.

"Salah satu daripadanya ialah PJRM Back to School, yang memberi tumpuan kepada keperluan ibu bapa dalam membuat persiapan kelengkapan sekolah anak-anak mereka," katanya.

Armizan berkata demikian semasa program turun padang sempena Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back to School di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang, pada Ahad.

Sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dalam program ini, menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, kasut, beg, dan alat tulis.

Menurut Armizan, sebanyak 243 siri PJRM Back to School akan dilaksanakan di seluruh negara dan dijadualkan berlangsung dari 16 Januari hingga 18 Februari 2025.

"Program ini terbuka kepada semua golongan masyarakat, mereka boleh menyemak lokasi premis yang menyertai PJRM Back to School menerusi laman web rasmi," tambahnya.

Di Sabah, setakat ini sebanyak 31 siri PJRM Back to School telah dirancang, dan setakat 9 Februari 2025, sebanyak 24 siri telah selesai dilaksanakan.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama