BELURAN: Dua warga asing yang diburu selepas disyaki menikam dan menyamun majikannya akhirnya berjaya diberkas di kawasan berhampiran Ladang Maxland, Tongod, kira-kira jam 5 petang, semalam.
Pada Ahad lepas, polis mengeluarkan kenyataan memburu dua suspek berusia 23 dan 50 tahun itu kerana disyaki menikam mangsa bersama anaknya menggunakan tombak buah kepala sawit.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata pihaknya melancarkan operasi mengesan dan mencari kedua-dua suspek terbabit.
Katanya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran diketuai Asisten Superintenden Henry Ak Laiyau melakukan serbuan di kawasan perkampungan, rumah kongsi ladang.
“Operasi turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Balai Polis Tongod serta Unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) IPK Sabah.
“Pasukan serbuan turut menyalurkan maklumat kepada penduduk sekitar bagi membantu mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bertindak dengan maklumat yang disalurkan orang awam, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.
Hasan berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan kes ini dan suspek direman bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
“Pihak polis IPD Beluran mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap,” katanya.