Polis Sabah kekal rekod cemerlang penyelesaian kes jenayah tahun lalu


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah mengekalkan rekod cemerlang dalam penyelesaian kes jenayah sepanjang tahun lalu di Sabah.

Walaupun Sabah merekodkan peningkatan 145 kes jenayah, namun kadar penyelesaian kes kekal tinggi dengan pencapaian 81.94 peratus.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, peningkatan kes itu bukan sesuatu yang membimbangkan kerana semua laporan jenayah disiasat tanpa mengira skala kes.  

"Jabatan Siasatan Jenayah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila meletakkan Sabah di kedudukan ketiga terbaik di seluruh negara dalam kadar penyelesaian kes," katanya.  

Dalam pada itu, PDRM turut mencatatkan peningkatan tangkapan dan pertuduhan berkaitan jenayah narkotik. 

Jelasnya, daripada 5,525 kes yang dibuka tahun lalu, sebanyak 93.34 peratus telah dituduh di mahkamah.  

Jenayah komersial juga menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 2,733 kes direkodkan pada 2024 berbanding 2,474 kes pada 2023, peningkatan sebanyak 259 kes.  

Namun, secara keseluruhan, prestasi PDRM Sabah berada dalam keadaan baik dengan hampir semua petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan berjaya dicapai.  

"Pencapaian ini adalah hasil usaha dan penilaian berterusan oleh Bukit Aman, oleh itu, saya menyeru warga PDRM Sabah terus berkhidmat dengan terbaik serta menilai prestasi diri bagi memperbaiki kelemahan," katanya.  

Beliau berharap setiap anggota dapat mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama