Polis tahan lelaki mengamuk, disyaki dibawah pengaruh dadah

 


TAWAU: Akibat dibawah pengaruh dadah, seorang lelaki sanggup bertindak mengancam keselamatan ahli keluarga selain bertindak agresif sebelum dia ditahan polis, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, suspek berusia 23 tahun itu dikatakan mengamuk tanpa sebab dengan memecahkan peralatan di dalam rumah sehingga berlaku pergelutan dengan abang iparnya dalam usaha untuk menenangkan suspek.

Bagaimanapun, lelaki warga asing itu kemudiannya berjaya ditahan sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MVP) segera dikerahkan ke lokasi kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat menerusi panggilan kecemasan oleh abang ipar suspek.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan polis bertindak menahan suspek tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

"Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, motif sebenar kejadian masih disiasat dan pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama