Pos Shop tawar perkhidmatan moden dan mesra pelanggan

Phoong Jin Zhe, pada Majlis Pelancaran Pos Shop pertama di Malaysia Timur yang berlangsung di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Langkah Pos Malaysia melancarkan Pos Shop di seluruh negara mencerminkan usaha syarikat itu untuk mentransformasikan perkhidmatan mereka agar lebih moden dan relevan, sesuai dengan kehendak pelanggan era digital.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memudahkan urusan harian rakyat tetapi juga membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan produk mereka.

Katanya, setakat Disember 2024, lebih 80 usahawan PKS tempatan di seluruh Malaysia telah mendapat manfaat melalui tiga kategori produk iaitu Makanan Sedia Dimakan, Makanan dan Minuman, serta Bukan Makanan. 

“Saya berharap pelancaran Pos Shop yang pertama di Sabah di Kota Kinabalu ini, akan mampu memenuhi kehendak pelanggan, sekali gus memberi manfaat kepada usahawan PKS di Sabah untuk menjana pendapatan mereka. Saya berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, pada Majlis Pelancaran Pos Shop pertama di Malaysia Timur yang berlangsung di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Hajiji turut berharap inisiatif itu dapat diperluaskan ke daerah lain di Sabah bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan PKS.

Hajiji menjelaskan, Pos Shop mengintegrasikan konsep “Shop In Shop” yang moden dan mesra pelanggan. 

“Konsep ini membolehkan Pejabat Pos berfungsi sebagai pusat sehenti untuk komuniti setempat dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan yang meliputi kemudahan membeli-belah untuk keperluan harian dalam suasana yang lebih selesa dan menyenangkan,” katanya.

Di samping itu, Hajiji turut menyatakan bahawa Pos Shop kini beroperasi di lebih 600 pejabat pos di seluruh Malaysia, termasuk 40 di Sabah, menawarkan suasana membeli-belah yang lebih moden dan selesa untuk pelanggan.

Dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar, Pos Malaysia juga berhasrat mencapai pelepasan karbon sifar bersih (NetZero) menjelang 2050.

“Saya dimaklumkan Pos Malaysia kini dalam proses untuk menggantikan kenderaan sedia ada kepada kenderaan 100% elektrik menjelang 2030. Di Sabah, Pos Malaysia akan memperkenalkan 15 motosikal elektrik pertama mereka pada bulan ini”, tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama