PPD baharu pacu kualiti pendidikan di Sipitang



Fadhlina (Tengah) sewaktu merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang pada Ahad.
SIPITANG – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sipitang kini rasmi dibuka, menandakan era baharu dalam usaha memperkasa sektor pendidikan di daerah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyifatkan pembukaan PPD ini sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan di Sipitang, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar dan guru terus diberi perhatian.

Beliau berkata, kewujudan PPD Sipitang akan membuka lebih banyak ruang untuk pelaksanaan agenda pendidikan bagi meningkatkan mutu pembelajaran di daerah tersebut.

"Dengan premis baharu ini, kita berharap dapat terus melaksanakan tanggungjawab serta meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya di Sabah," katanya sewaktu merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang pada Ahad.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menekankan bahawa bantuan persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap pelajar telah selesai diagihkan dan diharapkan dapat membantu ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan.

"Kita telah menyelesaikan bantuan persekolahan RM150 untuk setiap anak-anak, dan kita berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa, dan terdapat juga bantuan lain yang boleh dimohon bergantung kepada keperluan pelajar," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa minggu pertama sesi persekolahan adalah tempoh penyesuaian bagi pelajar, di mana tumpuan diberikan kepada aktiviti interaktif sebelum memulakan pembelajaran akademik sepenuhnya.

"Minggu pertama sangat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan sesi akademik tetapi juga aktiviti interaktif, ini i adalah pendekatan baharu yang kita mahu laksanakan agar pelajar dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan sebelum memulakan sesi akademik sebenar," ujarnya lagi.

Usaha ini dilihat sebagai langkah positif dalam meningkatkan mutu pendidikan di Sabah serta menyokong peralihan pelajar ke dalam persekitaran sekolah yang lebih kondusif.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama