Program 'Back to School' bantu ringankan beban persiapan ibubapa

Mohamed Razali sekitar program Program 'Back to School' di Dewan Kampung Warisan - ihsan Gagasan Rakyat Darau

KOTA KINABALU: Program 'Back to School' anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau berjaya membantu meringankan beban para ibu bapa dalam membuat persiapan untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Program yang dianjurkan di Dewan Kampung Warisan itu telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran lebih kurang 500 pengunjung dari kampung tersebut termasuk pengunjung dari beberapa kampung kawasan sekitar seperti Kampung Kalansanan.

Ketua Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, antara objektif penganjuran program tersebut adalah untuk memberi sokongan moral dan fizikal kepada kanak-kanak yang akan kembali ke sekolah selain memberi kesedaran akan pentingnya pendidikan serta berkongsi rezeki dengan komuniti sekitar.

"Jadi antara lain objektifnya kita hadir sama atas nama Gagasan Rakyat antara lain untuk bersama dengan komuniti yang ada di sini. Kita hadir dengan niat hati yang ikhlas, dengan niat berkongsi rezeki dan sekurang-kurangnya ini boleh juga meringankan beban ibu bapa yang hadir sama pada hari ini.

"InsyaAllah hubungan baik parti kita dengan komuniti di kampung ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang termasuk program-program yang sudah dirancang untuk bulan Ramadan nanti dan kita mengharapkan apa yang kita lakukan hari ini sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program 'Back to School' anjuran Beliawanis Darau dengan kerjasama Beliawanis Pusat yang diketuai oleh Nur Fatin Syafiqah Mohmad Wahid di Kampung Warisan, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat, Emmie Martin Idang berkata, program itu turut berfungsi untuk menyemarakkan semangat murid dan ibubapa terlibat dalam menghadapi sesi persekolahan akan datang.

"Ingat, adik-adik sekalian, pendidikan adalah antara kunci kejayaan dan usaha yang berterusan akan membuahkan hasil yang cemerlang kepada diri masing-masing seterusnya boleh diaplikasikan untuk membantu memajukan komuniti setempat, negeri dan negara amnya.

"Saya juga melihat dan belajar, di mana apabila kita masuk ke satu-satu kawasan itu, kita lihat dan kita belajar.

"Begitu juga bila kita masuk ke sekolah nanti, kita belajar, kita sedar kelemahan kita, praktikan apa yang baik dan buang perkara yang tidak baik ke tepi sambil mengambil pengajaran dari setiap apa yang berlaku," katanya ketika berucap dalam program terbabit.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama