Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) dilancarkan 19 Februari


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor akan melancarkan Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) pada 19 Februari 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Tuaran, jam 10 pagi.

Katanya, program ini bertujuan memberi manfaat kepada 100,000 penerima di seluruh Sabah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih sehingga 31 Disember 2024.

“Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini. 

Sementara itu, pembayaran akan dilaksanakan secara berfasa dengan setiap fasa merangkumi tempoh tiga bulan, iaitu berjumlah RM900 untuk setiap penerima.

Fasa pertama bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 akan diagihkan bermula Februari. 

Manakala, fasa kedua (April–Jun 2025) akan diagihkan pada April, fasa ketiga (Julai–September 2025) bermula September, dan fasa keempat (Oktober–Disember 2025) dijadualkan pada Oktober 2025.

Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun mereka. 

Manakala, penerima lain akan menerima bantuan secara tunai melalui kaedah yang telah ditetapkan.

“Antara objektif SYUKUR ialah untuk meringankan beban kewangan penerima bagi memenuhi keperluan asas mereka; menyokong golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa; mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah menerusi bantuan berterusan; dan sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama