Remaja perempuan dikhuatiri lemas di Kota Belud, operasi SAR masuki hari kedua

Foto ihsan Bomba

KOTA BELUD – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai berhampiran Kilang Batu Tan Chin Nam di sini, memasuki hari kedua hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.58 petang semalam.

Seramai lapan anggota BBP Kota Belud bersama lima anggota Pasukan Penyelam Dasar Air (PPDA) Kota Marudu dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Mangsa dipercayai mandi bersama keluarganya sebelum hilang di kawasan sungai tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Operasi pencarian dilakukan melalui kaedah selaman dasar sungai dan pencarian permukaan menggunakan bot penyelamat," katanya.

Selain itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung turut membantu operasi dengan pencarian di sekitar tebing sungai.

"Unit K9 turut digerakkan bagi memperluaskan kawasan pencarian pada hari kedua operasi," tambahnya.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian akan diteruskan sehingga perkembangan lanjut dimaklumkan.

Maklumat lanjut mengenai operasi SAR akan dikemas kini dari semasa ke semasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama