![]() |
Ewon sewaktu ditemui media selepas Majlis Apresiasi Media KUSKOP di Kota Kinabalu pada Isnin. |
Langkah ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memastikan koperasi tempatan terus berkembang dan memberi impak kepada ekonomi setempat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, peruntukan besar ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyokong ekosistem keusahawanan di Sabah.
Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk Studio TikTok Tekun, Hub PMKS, serta program Tamu Desa di Sabah dan Sarawak yang berfungsi sebagai platform strategik dalam meningkatkan keupayaan usahawan tempatan dan koperasi untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
"Tahun lepas, kita telah menyalurkan RM813 juta pembiayaan kepada lebih daripada 53,000 usahawan PMKS dan koperasi di Sabah.
"Ini akan diteruskan pada tahun ini, termasuk beberapa inisiatif seperti Studio TikTok Tekun, Hub PMKS, pelaksanaan premis Tamu Desa, serta pembukaan lebih banyak pejabat cawangan agensi di Sabah dan Sarawak," katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Media KUSKOP di Kota Kinabalu pada Isnin.
Ewon turut menyasarkan agar lebih ramai usahawan dan koperasi di Sabah tampil berdaftar dengan agensi di bawah KUSKOP, sekali gus meningkatkan jumlah peruntukan pembiayaan kepada negeri itu, setanding dengan Sarawak.
"Kalau di Sarawak kita boleh menyalurkan lebih RM1 bilion pembiayaan pada 2024, saya ingin melihat sasaran yang sama dicapai untuk Sabah pada tahun ini," katanya.
Untuk rekod, Sarawak menerima sebanyak RM1.084 bilion pada tahun 2024, yang telah disalurkan kepada 42,689 usahawan dan koperasi melalui tujuh agensi di bawah KUSKOP.
Inisiatif baharu seperti Studio TikTok Tekun diwujudkan bagi membantu usahawan tempatan memperkukuh pemasaran digital, sementara Hub PMKS dan Tamu Desa akan menyediakan platform bagi produk tempatan dipasarkan secara lebih meluas.
Menurut Ewon, langkah ini selari dengan Dasar Pandang ke Timur KUSKOP yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak melalui penyediaan ekosistem yang lebih holistik.