![]() |
Foto ihsan Bomba |
TENOM - Sebuah rumah musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Sri Menanti 3, Jalan Mandalom malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Tenom, Mudi Pangiran, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 11:14 malam.
Seramai 11 anggota dari BBP Tenom dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba 6 minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 40x60 kaki persegi musnah sepenuhnya. Turut terlibat sebuah kereta dan 4 buah motosikal, musnah akibat kebakaran.
"Terdapat seorang anggota Bomba Bantuan terkena renjatan elektrik dan telah dihantar ke Hospital Tenom menggunakan utiliti Vigo untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, pemilik rumah yang tidak dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan di kaki akibat terkena paku dan menerima rawatan awal daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan empat pancutan air dari jentera bomba.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.15 tengah malam, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1:04 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan," ujarnya lagi.