![]() |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melakukan gimik pelancaran Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah 2025 atau SYUKUR di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama di Tuaran, pada Rabu. |
TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri akan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu rakyat dengan merancang pelaksanaan satu lagi program baharu bagi meringankan beban kos sara hidup pada tahun ini.
Katanya, program baharu itu akan menjadi tambahan kepada beberapa inisiatif sedia ada, termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilancarkan hari ini.
“Sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Program SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Tuaran, pada Rabu.
Ketua menteri turut menjelaskan bahawa program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dengan menyediakan bantuan tunai RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025.
Katanya, program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 100,000 penerima.
Hajiji turut menyatakan bahawa sebanyak 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih sehingga 31 Disember 2024 telah mula menerima manfaat ini sejak Februari 2025.
“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun di bayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga bulan Mac ini,” jelasnya.
Bagi memastikan lebih ramai mendapat manfaat, kerajaan negeri akan melaksanakan Fasa Kedua program ini pada Mei 2025, yang akan merangkumi penerima tambahan termasuk mereka yang tercicir daripada senarai sebelum ini.
Ketua Menteri turut menggesa agar usaha berterusan dilakukan bagi memastikan mereka yang layak tetapi belum berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) boleh mendapatkan bantuan ini.
“Saya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Saya berharap agar SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif yang menjadi satu gerakan berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Sementara itu, pembayaran fasa pertama akan diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025), diagihkan bermula April.
Seterusnya, bagi fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) akan diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.
Rakyat boleh membuat semakan penerima dan pembayaran melalui laman web rasmi PADANS https://padans.sabah.gov.my/, Laman web http://sukur.sabah.gov.my/ , aplikasi YONO Superapp, atau notifikasi SMS.
Tambahnya, penerima boleh mula mengakses semakan SYUKUR pada hari ini.
![]() |
Maklumat Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025. |