![]() |
Arifin ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri KSTI 2025 di SICC pada Selasa - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Sabah terus memperkukuh sektor inovasi dan industri kreatif menerusi Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) bagi memperkasakan modal insan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, SCENIC akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu teknologi, keusahawanan berteraskan inovasi dan industri kreatif.
"Sejak penubuhannya pada 2020, SCENIC telah meletakkan Sabah sebagai ekosistem perusahaan sosial kedua terbesar di Malaysia serta ekosistem syarikat pemula teknologi keenam terbesar di negara ini.
"SCENIC akan melaksanakan pelbagai program termasuk program kesedaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0) serta latihan kemahiran tinggi dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
"Dengan peruntukan RM10 juta, inisiatif ini menyasarkan pelajar universiti, politeknik dan institusi latihan bagi meningkatkan kebolehpasaran belia serta memperkasa inovasi di Sabah,” katanya semasa Majlis Amanat KSTI 2025, pada Selasa.
Di samping itu, Arifin turut memaklumkan inisiatif Digital dan IoT Sandbox yang diperkenalkan sejak 2022 berjaya mengumpulkan dana RM7.8 juta bagi menyokong syarikat pemula teknologi di Sabah.
"Dalam sektor industri kreatif, SCENIC turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat animasi dan perfileman tempatan.
"Melalui SCENIC, Sabah Animation Hub akan melahirkan lebih ramai bakat tempatan menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan bagi syarikat produksi animasi antarabangsa," ujarnya.
Jelasnya lagi, SCENIC kini menjalin kerjasama dengan Persatuan Filem & Video Kota Kinabalu (KKFVA) untuk mempromosikan filem tempatan di peringkat antarabangsa serta menganjurkan Festival Sabah Screen Fest sebagai platform kepada penerbit filem Sabah mempamerkan karya mereka.
"Sebagai usaha memperkukuhkan ekosistem ekonomi kreatif dan sosial, pada tahun ini SCENIC akan menganjurkan dua persidangan utama antaranya Sabah Creative Economy Summit pada 14 hingga 15 April 2025 bagi menghimpunkan pemimpin industri, usahawan kreatif dan pembuat dasar untuk membincangkan hala tuju ekonomi kreatif.
"Selain itu, SCENIC juga bakal menganjurkan Social Enterprise World Forum (SEWF) Rural Gathering 2025 dari 31 Oktober hingga 3 November ini yang menjadikan Sabah sebagai tumpuan utama dalam pembangunan keusahawanan sosial luar bandar di peringkat global.
"Persidangan ini akan membuka peluang kerjasama antarabangsa serta merangka strategi memperkasakan impak sosial di peringkat global," tambah beliau.
Arifin turut menegaskan bahawa usaha ini seiring matlamat Sabah untuk menjadi pusat kecemerlangan inovasi dan industri kreatif di rantau ini.
"Dengan menyokong generasi muda dan bakat tempatan, kita bukan sahaja membina ekonomi yang lebih kukuh tetapi juga masyarakat yang lebih inovatif dan dinamik satu hari nanti," katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 30 pengamal media Sabah menerima sijil penghargaan kerajaan negeri daripada Arifin di atas penglibatan dalam melaporkan perkembangan dan aktiviti KSTI sepanjang tahun 2024.
Beliau turut menyampaikan Bantuan Pendidikan 2025 bagi program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBS Sabah (BAGUS), Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES) serta Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin.
Hadir sama, Pembantu Menteri KSTI Datuk Harun Durabi, Setiausaha Tetap KSTI Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sabah Ratnawaty Talib, serta pengarah-pengarah agensi dibawah KSTI.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )