Sabah perkukuh STEM, TVET bangunkan tenaga kerja mahir

Salah seorang dari 30 penuntut pengajian tinggi menerima Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) sumbangan kerajaan negeri daripada Arifin (tengah) sambil disaksikan Harun (tiga dari kiri), Ghulam (dua dari kiri) dan Raisin (tiga dari kanan) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. 


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) terus memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing di peringkat global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sektor STEM dan TVET kini diiktiraf sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi, selaras dengan keperluan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

"Menurut laporan Bank Dunia (2022), negara yang melabur secara strategik dalam STEM dan TVET mampu meningkatkan produktiviti tenaga kerja sehingga 30 peratus, manakala laporan UNESCO (2022) menyatakan pelaburan dalam pendidikan STEM di luar bandar boleh meningkatkan kadar celik teknologi hingga 60 peratus dalam tempoh lima tahun," katanya. 

Jelas Arifin, pada tahun lalu, KSTI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa pendidikan STEM, antaranya Festival STEM dengan peruntukan RM15,000 bagi setiap 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah, Program Outreach STEM seperti Kembara Sains Borneo dan Mini Teater STEM, serta pameran bergerak bertemakan Experiencing Science: Enlightening Innovation di beberapa lokasi terpilih.

"Bagi tahun ini, KSTI akan terus memperkasa program TVET dengan memberi tumpuan kepada bidang strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi biru dan teknologi kenderaan elektrik (EV).

"Kerjasama erat dengan industri tempatan dan antarabangsa akan memastikan kurikulum TVET selari dengan keperluan pasaran kerja, selain memperkenalkan latihan kemahiran tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan teknologi hijau,” katanya ketika menyampaikan Amanat KSTI 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.

Menurut beliau, antara inisiatif baharu yang bakal diperkenalkan termasuk penubuhan Pusat Sains di Sandakan dan Tawau dengan tajaan PETRONAS, serta pelaksanaan program TVET dalam sektor pertanian di Liawan yang dijangka meningkatkan pendapatan petani sehingga 50 peratus berdasarkan kajian Food and Agriculture Organization (FAO) 2023.

"Dalam usaha meneroka bidang AI, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Kecerdasan Buatan Negeri Sabah (MAINS) bagi merealisasikan Pusat AI Sabah.

"Pusat ini akan menjadi hab utama untuk penyelidikan, pembangunan dan aplikasi AI dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pertanian, perniagaan dan perindustrian," ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memastikan Sabah menjadi peneraju AI di rantau ini.

"Pendidikan STEM dan TVET bukan sahaja memberikan peluang kepada generasi muda Sabah untuk memperbaiki taraf hidup, tetapi juga memastikan negeri ini kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi global," katanya.

Pada majlis itu, Arifin turut menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada 30 pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Sabah.

Hadir sama, Pembantu Menteri KSTI Datuk Harun Durabi, Setiausaha Tetap KSTI Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sabah Ratnawaty Talib, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin serta pengarah-pengarah agensi di bawah KSTI.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama