Sabah terima RM100 juta hasil jualan terbaru minyak mentah


KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) membuka tirai tahun 2025 dengan kejayaan besar apabila berjaya menjual kargo minyak mentah pertama untuk tahun ini dengan hasil pendapatan bernilai RM100 juta.

SMJE melalui satu kenyataan mengatakan hasil tersebut diperolehi melalui 50% kepentingannya dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Semarang (PSC Semarang).

Tambahnya, SMJE akan terus fokus dalam meletakkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas, dengan sasaran mencapai pertumbuhan yang mampan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sabah.

"Setakat ini, hasil jualan minyak mentah dan gas SMJE telah melebihi RM1.5 bilion. Minyak mentah dijual ke pasaran domestik dan antarabangsa, manakala gas dibekalkan secara eksklusif kepada pelanggan utama di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Labuan.

"Pendekatan strategik SMJE adalah dengan melabur dalam aset minyak dan gas yang menguntungkan serta menghasilkan tunai dengan risiko penerokaan yang minimum," tambahnya.

SMJE mengatakan pencapaian terbaru ini menggambarkan pertumbuhan positif kepada syarikat milik kerajaan Sabah itu dan akan terus meneroka peluang baru dalam sektor minyak dan gas.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama