Selepas 20 tahun, Marsha Milan rangkul Juara AJL39

Foto Ihsan: TV3 Malaysia. 
 

KUALA LUMPUR: Selepas 20 tahun berada dalam industri hiburan tanah air sejak penampilan pertama dalam program Akademi Fantasia 3 (2005), Marsha Milan mencipta sejarah apabila lagu Hening Rindu, ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, berjaya dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), memukau jutaan penonton yang menyaksikan siaran langsung AJL39 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Lagu Hening Rindu berjaya menewaskan pesaing seperti Puas Sudah (Aina Abdul), Bukan Lagi Kita (Nadeera), dan Diam (Hael Husaini), yang sebelum ini diramalkan bakal membawa pulang trofi idaman ramai.

Kejayaan penyanyi berbakat berasal dari Tamparuli, Sabah itu melayakkannya membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.
Marsha Milan, Juara AJL39. 

Marsha Milan dalam ucapan kemenangannya meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada pasukan produksi, komposer, keluarga, serta peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepadanya.

“Alhamdulillah, Marsha betul-betul tidak menyangka sebab saya tidak menyediakan apa-apa ucapan, tidak terfikir langsung tapi alhamdulillah rezeki,” katanya ketika ditemubual dalam tayangan strim secara langsung oleh pihak TV3 melalui aplikasi Tonton, semalam.

Anugerah Juara Lagu 39 menyaksikan persaingan sengit antara 12 finalis yang mempersembahkan pelbagai genre lagu.

Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Marsha Milan dalam industri muzik tempatan, malah membanggakan Sabah, tempat kelahirannya.

Sementara itu, naib juara AJL 39 menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini ciptaan dan lirik oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret, hasil ciptaan Akim & The Majistret dengan lirik oleh Bunga Cantik, berjaya meraih tempat ketiga sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 bersama trofi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama