![]() |
Semua PPS di Sabah ditutup, banjir kembali pulih sepenuhnya. |
KOTA KINABALU: Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh daerah yang terjejas banjir di Sabah telah ditutup, berikut bencana itu telah pulih sepenuhnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah memaklumkan penutupan semua PPS di Sabah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, jabatan dan agensi Kerajaan yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa semasa bencana banjir berlaku.
"Saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak, termasuk orang awam, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu mangsa- mangsa banjir semasa bencana itu", katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji berkata, walaupun daerah-daerah yang terlibat dengan banjir sebelum ini telah mengisytiharkan bahawa bencana itu telah pulih dan tamat, namun penduduk kampung terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa berwaspada dan bersiap sedia berikutan keadaan cuaca yang sukar diramal.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah juga perlu sentiasa bersiap siaga serta membuat persiapan menghadapi kemungkinan kecemasan.
Pada 31 Januari lalu, kerajaan negeri jmengalu-alukan pengumuman peruntukan sebanyak RM25 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada peruntukan itu, masing-masing menerima sebanyak RM10 juta untuk pembaikan infrastruktur awam di negeri Sabah dan Sarawak. Manakala sebanyak RM5 juta lagi iaitu masing-masing sebanyak RM2.5 juta untuk sumbangan kepada keluarga mangsa banjir bagi Sabah dan Sarawak mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (setiap keluarga akan terima RM1000).
Hajiji berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini.
"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera itu", katanya.