TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan barang kawalan di daerah ini dalam satu serbuan di sebuah rumah atas air di Jalan Tawau Lama, di sini pada Rabu.
Dalam serbuan itu, turut menahan empat lelaki disyaki dalang sindiket terbabit dan membuat rampasan dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Pemangku Superintenden Anselinus Marcus berkata kejayaan itu adalah hasil risikan dan maklumat yang diterima sebelum ini.
Katanya, serbuan dilakukan oleh Team Risik Batalion 14 PGA Tawau bersama Task Force Perisikan diketuai Asisten Superintenden Mohd Rafail Rabbahil di sebuah rumah atas air di kawasan tersebut.
“Pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang warga asing di dalam rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut, menemui pelbagai barang kawalan seperti gula pasir, tong gas, minyak petrol dan baja campuran disyaki cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah membuktikan boleh menyimpan barang terkawal dengan kuantiti banyak.
Anselinus berkata, modus operandi suspek adalah memunggah barang kawalan berkenaan ke bot dengan pantas untuk dibawa ke negara jiran melalui jalan laut.
Katanya, semua barang kawalan termasuk tiga buah lori dan enam bot laju beserta enjin yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta dirampas.
“Semua suspek dan barang rampasan itu diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.