SOGIP pemangkin pertumbuhan sektor tenaga dan ekonomi Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama jemputan lain pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum milik Petroventure Energy Sdn.Bhd di SOGIP, di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Selasa.

 KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor tenaga di Sabah, sekaligus memberi sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata SOGIP telah menarik pelaburan berimpak tinggi yang bakal menjadikan Sabah hab tenaga utama di rantau Asia Tenggara.

Katanya, SOGIP telah menerima banyak pelaburan strategik, termasuk projek kilang keluli hijau (Green Steel) oleh syarikat Esteel yang bernilai RM20 bilion secara berfasa.

Terbaharu, Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion), hasil kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) dan Gibson Shipbrokers Limited, turut dilancarkan bagi menjadikan Sabah sebagai hab utama industri minyak dan gas.

“Saya yakin dengan kejayaan projek ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri minyak dan gas, sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. 
“Kita bersyukur kerana Sabah kaya dengan sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora serta hidupan laut. Lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber semula jadi yang banyak, dan ekonomi yang pelbagai antara faktor menjadikan Sabah sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing”, katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Menurut Hajiji, projek ini bakal menjana pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih USD3.5 bilion (RM15.5 bilion) dan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, termasuk lebih 3,000 pekerjaan semasa pembinaan dan 1,000 pekerjaan tetap selepas operasi bermula.

“Saya sentiasa menekankan keutamaan pengambilan tenaga kerja tempatan dalam setiap projek dan operasi di negeri ini. Ia adalah komitmen kami untuk memastikan pembangunan ekonomi juga memberikan manfaat langsung kepada rakyat Sabah,” tegasnya.

Projek ini turut merangkumi pembinaan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak, makmal ujian petroleum, dan bangunan pentadbiran, yang akan menyokong operasi dan meningkatkan keberkesanan loji.

Ketua Menteri turut memberi jaminan bahawa projek ini akan dibangunkan secara mampan melalui pelaksanaan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh Petroventure, bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.

Hajiji menambah, Sabah terus menjadi destinasi pilihan pelabur kerana kelebihan seperti kekayaan sumber semula jadi, lokasi strategik, kestabilan politik, dan ekonomi yang pelbagai.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama