Sokong kepimpinan PVATM Sabah demi kebajikan ahli: Nizam

Nizam memberi sokongan kepada  ahli-ahli veteran di daerah Tawau bagi melancarkan setiap perancangan dan program yang dirancang oleh pihak persatuan.


TAWAU: Semua ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di daerah ini disaran supaya terus menyokong kepimpinan mereka sama ada di peringkat negeri mahupun cawangan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sokongan ahli sangat penting bagi melancarkan setiap perancangan dan program yang dirancang oleh pihak persatuan.

Katanya, semua ahli perlu bersatu padu dan menyokong segala agenda persatuan terutamanya yang melibatkan kebajikan mereka.

“Kerajaan negeri hari ini sentiasa membantu dan prihatin dalam membantu semua pesara tentera menerusi penyaluran dana kepada PVATM.

“Setiap bantuan yang diberikan kepada PVATM supaya persatuan ini dapat menggerakkan program yang bermanfaat kepada semua ahli mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Tawau kali Ke-34, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua PVATM Sabah, Ruhimin Jaafar dan Ketua Cawangan PVATM Tawau, Julyadi Mattuju.

Nizam berkata, sebagai wakil rakyat di daerah ini memang begitu komited dalam membantu PVATM Cawangan Tawau dan ahli-ahlinya.

Katanya, setiap tahun bantuan khas sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada PVATM Cawangan Tawau melalui peruntukan ADUN Apas.

“Saya juga turut membantu persatuan ini bagi menjayakan aktiviti yang mereka anjurkan dan sedaya upaya hadir dalam setiap jemputan untuk merasmikan majlis PVATM Cawangan Tawau.

“Semua komitmen dan bantuan yang diberikan itu bagi menghargai segala jasa pesara tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Ruhimin berkata pihaknya merayu kepada kerajaan negeri supaya menyediakan PVATM Sabah sebuah Wisma Pahlawan seperti di negeri lain untuk memudahkan pentadbiran mereka.

Katanya, PVATM Sabah sudah lama diwujudkan hampir mencecah 47 tahun, namun sehingga kini belum ada pejabat milik persatuan sendiri.

“Justeru, saya bersama kepimpinan lain akan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk menyuarakan cadangan mewujudkan Wisma Pahlawan di Sabah.

“Kita berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh Ketua Menteri supaya Wisma Pahlawan dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama