SPRM sahkan video dakwaan rasuah ADUN Sabah tiada kredibiliti, tidak boleh diguna pakai



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan video tular yang mengaitkan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah tidak boleh diguna pakai dalam penyiasatan berikutan terdapat suntingan dilakukan.

Memetik sumber Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata video terbabit telah dikemukakan kepada bahagian forensik SPRM untuk siasatan lanjut.

"Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing (suntingan) serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberita pihaknya juga telah selesai merakam keterangan lima saksi termasuk seorang ahli politik dari Sabah berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah itu.

Menurutnya, lima individu terbabit dipanggil susulan isu baharu mengenai siasatan berkenaan yang ditimbulkan di sebuah portal dan SPRM Sabah juga sedang meneliti rakaman keterangan itu.

Katanya, siasatan dakwaan skandal rasuah itu dibuat berdasarkan video tular yang dikeluarkan sebuah portal berita tempatan dan juga laman media sosial.

Disamping itu, beliau turut berkata sehingga kini pemberi maklumat yang mendedahkan video itu masih belum berkongsi sebarang bukti dengan pihaknya.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN berkenaan didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Azam turut memberitahu pihaknya tidak bercadang memanggil portal yang menyiarkan video terbabit untuk mengetahui bagaimana ia diperoleh kerana menghormati kebebasan portal itu untuk membuat laporan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama