Teater 'The Journey' tampilkan bakat muda

 

Juliah (sepuluh dari kiri) bergambar kenangan bersama pelakon dan kru produksi The Journey - ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU : Teater 'The Journey' menjadi platform untuk menampilkan bakat muda dalam seni teater. 

Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag berkata pementasan teater berkenaan merupakan antara kaedah terbaik untuk mencungkil bakat anak-anak muda. 

"Teater ini dapat mengetengahkan pendapat anak-anak muda yang mempunyai bakat dalam seni teater di negeri kita. 

"Pada hari ini, para pelakon berjaya membawa satu lagi corak pementasan mengenai Huminodun. 

"Mudah-mudahan anak-anak muda kita sekarang ini dapat menghayatinya sebagai satu cara menyatupadukan dan memberi inspirasi kepada idea baru. 

"Kita akan sentiasa menyokong kemunculan orang-orang baru dan mengetengahkan apa sahaja jenis teater untuk dimunculkan supaya anak-anak muda kita ini mereka ada satu tempat untuk menyalurkan idea-idea mereka," katanya selepas Pementasan Perdana Teater Muzikal 'The Journey' di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah, pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengarah, Penulis Skrip dan Komposer 'The Journey', Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek berharap agar akan diwujudkan ruang untuk bagi anak-anak muda mengembangkan bakat mereka. 

"Seperti di Semenanjung, ada studio Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya yang menjadi ruang untuk mereka melepaskan ataupun kembangkan bakat-bakat itu di dalam satu tempat tapi di Sabah masih kurang kemudahan seperti ini.

"Jadi, mudah-mudahan melalui apa yang sudah kita sampaikan pada hari ini kerajaan dapat melihat cerita-cerita legenda itu akan menarik ramai anak-anak muda kita untuk mempelajarinya," katanya kepada media. 

Pementasan Teater 'The Journey' anjuran Ranau Tourism Association (RATA) berlangsung selama tiga hari bermula hari ini turut melibatkan penampilan khas artis tempatan terkenal, Elica Paujin.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama