![]() |
Ewon (empat dari kanan) mengabadikan kenangan semasa perayaan Thaipusam - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
PENAMPANG: Sambutan perayaan Thaipusam akan dicadang untuk dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan utama Sabah agar menjadi tarikan sekali gus menyerlahkan keunikan dan keharmonian kaum.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedict berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan untuk melihat religious pilgrimage di Sabah itu diangkat menjadi tarikan pelancongan yang utama.
"Saya percaya Kementerian Pelancongan boleh melihat lebih jauh bagaimana kita boleh menarik pelancong dalam dan luar negara ke Sabah untuk religious pilgrimage supaya kita serlahkan lagi keunikan dan keharmonian kaum dan agama yang ada di Sabah ini.
"Contohnya di Sabah, kita boleh melihat keberadaan Masjid, Gereja, Kuil Hindu, Kuil Buddha dalam kawasan yang sama, di Bukit Padang, Kota Kinabalu dan di beberapa daerah lain. Kenapa kita tidak bangunkan program pelancongan, membawa pelancong dalam negara dan di luar negara ke tempat-tempat ini supaya mereka faham kebersamaan rakyat bermula daripada toleransi dan rasa hormat sesama penganut agama yang datangnya daripada berbagai kaum.
"Bukan hanya setakat keindahan gunung, keindahan pulau dan tarikan lain tetapi rasa hormat dan toleransi antara penganut agama yang ada di Sabah itu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan, kita bawa mereka ke Kuil di Lok Kawi ini, di rumah-rumah ibadat yang lain semasa penganut agama menghadiri upacara di rumah-rumah ibadat masing-masing walaupun berjiran saja, bersebelahan saja, tapi rasa hormat itu sangat tinggi.
"Jadi, ini kekuatan Sabah yang kita mesti bangunkan menjadi satu tarikan baru kepada Sabah," katanya ketika ditemui media semasa menghadiri sambutan Hari Thaipusam peringkat negeri Sabah, pada Selasa.
Tambah Ewon, pihaknya sudah bersedia menyalurkan sebarang bentuk dana yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
"Saya percaya ini boleh dibangunkan di Sabah dan akan menjadi kekuatan baru di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sekiranya ini dapat dibangunkan, saya amat pasti agensi-agensi kita boleh menyediakan sokongan pembiayaan kepada industri pelancongan.
"Sekiranya pakej pelancongan atau tempat peranginan itu duruskan oleh Koperasi, kita sudah ada dana yang kita boleh salurkan dan kita boleh sokong cuma saya berpendapat kementerian pelancongan boleh melihat bagaimana religious pilgrimage ini boleh dibangunkan lagi.
"Saya nampak ada kekuatan yang kita boleh cairkan menjadi pendapatan kepada pengusaha pelancongan, traveling agent, penginapan restoran termasuk rumah rumah ibadat ini," ujarnya.
Terdahulu, pada sambutan tersebut para penganut Hindu hadir untuk upacara pengambilan Paal Kudam dan Kavadi diikuti upacara 'Abhishegam' di mana Sami Hindu menuang susu ke atas berhala Tuhan sambil menyampaikan mantra diikuti upacara sembahyang kemuncak di akhirnya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kuil Subramaniar Lok Kawi, Dr Barathi Devi, Ahli Jawatankuasa Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Sabah, Datuk Dr. G Mohan A/L Gopal Naidoo serta Pengurus Bahan Pelancongan, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Azrol@ Jonilus Gosmin.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )