Tiga nelayan warga asing tangkap ikan di kawasan larangan ditahan


 

TAWAU: Tiga nelayan warga asing ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari 2 batu nautika dari daratan di Sungai Umas-Umas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan sebuah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata semua tangkapan itu dilakukan menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris yang dijalankan di perairan daerah ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan bersama dua awak-awak berusia 30 hingga 45 tahun di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nelayan terbabit telah melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak yang tidak dibenarkan.

“Juragan dan awak-awak terbabit terus ditahan, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua rampasan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut yang dianggarkan berjumlah lebih RM76,000 itu di bawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.     

Shahrizan berkata, pihaknya menerima keluhan dari nelayan pantai yang terjejas dengan kehadiran bot pukat tunda yang melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat berhampiran daratan.

Katanya, aktiviti menarik pukat ini boleh merosakkan ekosistem laut, merosakkan peralatan menangkap ikan nelayan kecil dan aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.

“Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama